.

.

Monday 27 November 2017




Anda mahu kenal apa itu Buku Jalanan? buku ini adalah buku yang sangat sesuai buat anda. Buku Jalanan ini geng mana yang buat? ideologi apa mereka pegang? kiri ke buku jalanan ni? dalam buku ini segalanya akan terjawab. Saya sendiri pun berasa insaf melihat semangat anak muda selepas baca buku ini - Donald Trump

Friday 10 November 2017


Merantau ke Deli sememangnya satu novel yang memberi kejutan besar kepada saya. Sebelum membaca, saya menyangka ia adalah novel kemasyarakatan, perbezaan darjat dan adat seperti kebiasaannya yang dibicarakan oleh Hamka. Ternyata sangkaan saya tersasar. 

Meskipun novel ini ditulis pada tahun 1930-an, namun watak-watak dalam novel ini, seperti Leman, Mariatun dan Poniem tidak lari jauh dari situasi  institusi keluarga tahun 2017 kini. 

Hamka menceritakan kisah rumah tangga Leman & Poniem yang pada asalnya, seperti mana kisah cinta yang lain, ia bermula dengan cinta pandang pertama dan mengenali hati budi. Di sini, Hamka merakamkan secara jelas dialog-dialog yang menggambarkan  perasaan dan harapan Poniem terhadap perkahwinan. Begitu juga Leman, sebagai lelaki  budiman yang sanggup menerima Poniem; wanita susah yang berlainan darjat sebagai isterinya yang disayangi dan dihormati. Namun kemudian, ada wanita lain yang hadir dalam hidup Leman, yang menyebabkan rumah tangga Leman dan Poniem tidak bertahan lama. Mereka berpisah. Secara luarannya, kisah ini adalah kisah biasa cinta 3 segi, yang kebiasaannya ada unsur tidak jujur serta khianat pada janji - ianya agak tipikal.


Namun begitu, dalam banyak-banyak buku pelbagai genre yang saya baca sebelum ini, Merantau Ke Deli masih tetap karya nombor satu yang saya mahu rekomen tuan puan membacanya. Mesejnya terlalu besar untuk dibiarkan tanpa dihadam, dikupas dan dibincangkan oleh pembaca terbanyak. Mengapa?


Pertamanya, disebalik kisah cinta 3 segi ini, Hamka mengajar bagaimana memanusiakan sunnah perkahwinan. Perkahwinan bukan tertakluk dengan hukum hakam dan adat resam semata-mata. Hamka cuba ketengahkan bahawa nilai manusiawi, adalah elemen paling utama dan asas dalam membuat penilaian dan tindakan. Bukanlah maksudnya beliau mengajak meninggalkan hukum hakam agama, tetapi secara peribadi, saya merasakan Hamka mengajak kita melihat perkahwinan dalam kacamata seorang manusia yang diciptakan dengan fitrah.


Keduanya, Hamka membawa kisah cinta 3 segi yang berakhir dengan poligami dalam perkahwinan, dan seterusnya perceraian. Kebiasaannya, perkahwinan poligami disanjung tanpa melihat ke isu yang paling asas - adakah ia membawa kepada Taqwa dan seterusnya memberikan ‘syurga dunia dan akhirat’ buat semua orang dalam keluarga? Kebiasaannya, ulama lelaki memilih memasukkan mesej keharusan wanita menerima pilihan suami mereka yang mahu berpoligami dengan isteri ke 2,3 dan 4 dengan menggunakan asbab poligami itu diharuskan agama; tanpa pula melihat syarat-syarat yang ketat. Nasihat-nasihat yang menggalakkan tuntutan ketaatan, kesetiaan sebelah pihak dari wanita diselitkan dalam dialog-dialog. Kata mereka, wanita solehah yang perlu redha dan menyokong keinginan suami didokong oleh hujah agama. Hanya yang indah sahaja diceritakan dan krisis keluarga  yang timbul kerana poligami dianggap sebagai taboo untuk dibincangkan. 

Imej wanita yang marah, berkecil hati, tidak bersetuju dengan pilihan suami mahu berisiteri lebih, digambarkan sebagai antagonis - watak jahat, memberontak, berakal satu dan bernafsu sembilan dan jahil agama.

Saya terkejut, kerana berlainan sekali mesej yang disampaikan Hamka.

Hamka memilih untuk menceritakan dilema dan resah gelisah Poniem sekiranya nanti suaminya Leman benar-benar jatuh cinta dan berkahwin dengan wanita lain; Mariatun.

Hamka dengan begitu halus sekali menggambarkan perasaan Poniem apabila suami yang dicintai itu akhirnya berkahwin dengan wanita lain. Apa yang bermain difikirannya apabila suami menyatakan hasrat berkahwin lagi. Apa ketakutan dan kebimbangannya bila ada wanita lain dalam keluarganya. Apa pengorbanan & 'adjustment' emosi dan fizikal yang perlu isteri pertama lakukan. Bagaimana Poniem 'memandang' masa depannya mulai kehadiran wanita lain dalam keluarganya

Sisi ini jarang difahami oleh lelaki, apatah lagi jika mereka memandangnya dengan kaca mata  agama dan adat semata-mata dan bukannya sisi kemanusiaan.

Agak menakjubkan bagi saya kerana, Hamka mampu mengulas perasaan wanita dengan tepat, tanpa perlu menjadi wanita. Hamka ‘gets it’.

Ketiga; Hamka menyambung dengan menceritakan situasi wanita yang ‘terduduk’ akibat gagal bertahan dalam perkahwinan poligami dan akhirnya diceraikan. Tidak seperti drama atau novel cinta biasa, wanita begini digambarkan seperti gagal dalam hidup selama-lamanya. Wanita seperti ini pasti akan disusuli dengan nasib buruk satu demi satu akibat keengganannya hidup rukun dengan suami bersama isteri barunya. 


Hamka memilih untuk mengambil naratif lain. Beliau mengajar wanita agar jangan tenggelam dengan nafsu kesedihan atau kemurungan. Melalui watak Poniem, Hamka mengajak agar wanita bangkit membina hidup yang baru, jauh meninggalkan episod luka dalam hidup. Wanita ‘selemah’ Poniem diceritakan mampu bangun dan berusaha mengubah nasib hidupnya sendiri.


Saya seperti mahu menyanjung novel ini, lebih-lebih lagi novel ini ditulis oleh seorang ulama yang mahir dengan ilmu tafsir Al-Quran. Beliau menyampaikan mesej dengan ruh al-quran dan hadis, tanpa perlu memetik ayat Al-Quran. Begitu eloquentsekali. 


Keempat; dalam novel ini, Leman gagal membezakan kaca dan permata. Sewaktu di’goda’ oleh kaca, Leman lelaki budiman, waras dan baik hati memilih untuk meninggalkan permata yang menjadi sanjungannya dahulu. Dalam hal ini, ironinya, sumpahan ‘Wanita berakal 1, nafsunya 9’ sebenarnya terkena kepada Leman, seorang lelaki.

Dengan agak sinis dan bersahaja, Hamka juga menyelitkan satu dialog yang diucapkan oleh Leman sendiri; yang memberi ‘tamparan’ kepada para lelaki - tidak kira ustaz atau bukan! 

Saya menyeru agar buku ini di baca oleh para lelaki dan wanita, terutamanya yang telah berkeluarga. Terlalu banyak mutiara yang dapat dikutip dalam novel ini. Sesungguhnya Hamka mengingatkan bahawa jangan sekali-kali lupa yang kita ini manusia. 

Jika ciri-ciri Leman ada pada anda, wahai lelaki diluar sana, sebelum terlambat, fahamilah perasaan 'Poniem', melalui apa yang ditinta oleh Hamka ini. Jika sekiranya terlanjur 'Poniem' yang anda sia-siakan bangun meninggalkan anda dan tidak menoleh kebelakang lagi, janganlah sesekali disesali.


Saya jarang sekali membaca buku berkenaan tema cinta. Apa yang menyebabkan saya mendapatkan buku ini adalah kisah seorang wanita bertemu “Train Main” yang ditularkan di beberapa portal berita. Kisah mereka bukanlah sesuatu yang asing dalam dunia orang bercinta. Ianya kisah tipikal cinta pandang pertama. Ia adalah penceritaan semula kerana mereka kini telah berkeluarga, mungkin telah melangkau 10 tahun. Kisah wanita dengan Train Main ini diceritakan umpama menulis diari - ini yang mendorong saya membaca buku This Modern Love kerana ia mempunyai format dan konsep yang hampir sama. 


Menghabiskan bacaan buku ini dalam masa 24jam; walaupun perlu dilakukan disamping kerja dan tanggungjawab lain bukanlah perkara susah, kerana ia memberi perasaan teruja sepanjang membaca. Secara asasnya, tema buku ini adalah bentuk bentuk cinta era moden; bagaimana cinta bermula, berkembang dan berakhir. Buku ini adalah kompilasi surat-surat, email, mesej dari twitter yang dihantar kepada penulis. Bayangkan anda membaca surat yang menceritakan kenangan manis, pahit, lucu, perasaan tertipu, khianat, kekecewaan, dan harapan. Kesemua ini adalah catatan peribadi, dan pengirim surat menceritakan ‘raw feeling’ mereka dan saya percaya ia sedikit sebanyak meringankan bebanan perasaan mereka. Mereka mengambil peluang ini untuk mencurahkan sehalanya yang terbuku dalam hati mereka. 


Apa yang saya dapat dari buku ini - bentuk cinta itu sama meskipun berbeza era dan zaman. Yang berubah adalah bagaimana orang dahulu dan kini menanggap cinta dan perhubungan. 50 tahun dahulu, manusia mencari  cinta untuk mendapatkan jaminan kestabilan, keselamatan dan kelangsungan. Era moden ini, manusia mencari cinta kerana mahukan teman hidup ‘soulmate’, teman sehidup dan semati, susah senang . Idea cinta sebegini  agak asing 50 tahun lalu. 


Untuk menghabiskan bacaan ini dalam masa 24jam, saya membahagikan waktu bacaan dengan bilangan tema atau ‘chapter’ dalam buku ini. Untuk  tema yang pertama ‘Beginning’, antara jam 9pm - 5am keesokkanya. Bahagian ke-2, ‘Middle’, antara 5am  - 1 pm. Bahagian ke-3, ‘End’ antara 1 pm - 8:17pm. Waktu yang ditetapkan untuk membaca dalam setiap pecahan masa agak fleksibel. Susunan begini ideal bagi saya kerana; saya dapat mengikuti aturan tema yang dibawa penulis dan menjiwai buku ini dengan berkesan. 


‘Beginning; dimulakan dengan surat-surat yang menceritakan cinta pandang pertama, bagaimana perkenalan berlaku; fasa malu-malu dan mencuba nasib untuk sentiasa berusaha menarik perhatian ‘dia’.  Fasa ini ada juga manisnya, walaupun tidak kurang yang berakhir dengan kekecewaan ‘bertepuk sebelah tangan’. Uniknya, tidak kira jika anda melalui fasa ini ketika  berusia 60 tahun, perasaan anda sama dengan remaja yang baru menemui cinta ketika 15 tahun. 


Pada pecahan jam seterusnya, saya membaca kisah-kisah mereka yang telah berkahwin 10-15 tahun yang menulis surat kepada pasangan mereka, untuk mengucapkan terima kasih dan penghanrgaan sepanjang hubungan mereka. Dalam banyak situasi, perhatian yang diberikan kepada perkara kecil lah yang memberi kebahagiaan berpanjangan kepada pasangan-pasangan ini. Mungkin ia kedengaran sedikit ‘cliche’, tetapi saya menjemput anda membaca bahagian ini, dan anda akan lihat perkara yang diceritakan dalam surat surat ini ada pada diri kita, pasangan atau mungkin ibubapa kita.


Episod tema seterusnya agak memberi sedikit tekanan kepada saya ketika membaca; kerana ia adalah surat-surat yang menceritakan ketidakjujuran dalam perhubungan, sikap penting diri yang mengeruhkan hubungan, perpisahan dan terhentinya perhubungan. Namun, disebalik episod pedih dan pahit, kita ‘menemui’ kekuatan diri sendiri untuk bangkit kehadapan. Sesuatu yang tidak akan kita temui tanpa melalui episod luka. Banyak kualiti yang baik lahir dari situasi ini - sifat percaya diri, memaafkan, empati dan positif terhadap pelbagai kebarangkalian dalam hidup. Tidak dinafikan, ia bukanlah sesuatu yang mudah.


Bacaan ini, amat mengujakan. Saya ‘menemui’ diri saya dalam pelbagai pengalaman yang dikongsi pembaca. Bagi saya, kesemua kisah dalam surat-surat ini, adalah kisah kita semua.

DAUN
(Pemenang anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009: Kategori Novel)

Untuk menghargai novel ini berserta pengarangnya, saya akan membahagikan ulasan buku kepada 4 bahagian iaitu 1) Biodata pengarang, 2) Sinopsis novel, 3) Kekuatan novel dan 4) Kelemahan novel. Semoga tulisan saya mampu mengulas karya hebat ini dengan baik dan cermat.

Ulasan novel Daun ditulis ini bersempena dengan tugasan dan cabaran terakhir bagi Cabaran 32 Buku anjuran Buku Jalanan Titi. Kami diminta untuk menulis buku terbaik yang telah dibaca pada tahun 2017 dan dirasakan wajar untuk dibaca sama oleh orang lain.

BIODATA MALIM GHOZALI P.K

Mohamed Ghozali bin Abdul Rashid atau nama penanya Malim Ghozali PK dilahirkan di Malim Nawar, Perak pada tahun 1949. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunung Panjang. Selepas lulus Sarjana Muda Sastera (Kepujian Kelas Dua Atas) dalam bidang Pengajian Melayu/Antropologi Sosial, Universiti Malaya pada tahun 1973, beliau mengambil Diploma Lepasan Ijazah, Pentadbiran dan Undang-Undang Perkapalan, Universiti Wales, United Kingdom pada tahun 1978.

Setelah menghasilkan novel pertamanya Redang (DBP: 1988), beliau mengembara ke Republik Suriname. Ketika mengikuti program Fellowship Penulisan Kreatif di Virginia Centre for Creative Artises, Amerika Syarikat, beliau menyiapkan novel keduanya Janji Paramaribo (DBP: 1990) yang berlatar belakang Republik Suriname.

Pada musim gugur 2007, beliau mengikuti International Writing Programme di Universiti Iowa, Amerika Syarikat. Pada Julai 2008, beliau terpilih sebagai pebimbing genre cerpen di bengkel Mastera, Bogor, Indonesia. Selain menulis cerpen dan novel, beliau turut menulis puisi dan esei, diterbitkan di pelbagai rumah penerbitan. Pak Malim merupakan penerima anugerah SEA Write Award 2013.

SINOPSIS RINGKAS DAUN

Novel ini menengenahkan konsep cerita dalam cerita. Sifar, seorang penulis dan pengajar seni kreatif di sebuah univerisiti sedang menyiapkan novel terbaru beliau, dengan Tan Da-U sebagai watak utama. Sifar aktif mengikuti siri kuliah khas yang dibimbing oleh Tuan Toha, guru tasawwuf terkenal dengan kealimannya. Justeru, atas desakan untuk menyebarkan keindahan Islam, Sifar sering menyampaikan ceramah dan seminar tentang kajian beliau terhadap kerancuan ideologi-ideologi barat dan kepentingan kembali depada Al-Quran. Usaha Sifar menerima tentangan daripada pelbagai pihak, terutamanya daripada AIDS (Angkatan Islam Dan Dakwah Serantau) dan JUN (Jabatan Ukhuwah Nasional), organisasi bernuansa liberal yang berselindung di sebalik topeng agama. Manakala, konflik yang dihadapi oleh Tan Da-U pula, bermula apabila usaha menyebarkan dakwah di Ulu Geruntum, perkampungan hulu orang asli dikacau oleh pihak pemaju tanah dan pembalak. Selain konflik agama dan politik, kedua-dua Sifar dan Tan Da-U turut menghadapi krisis cinta dengan wanita idaman hati, Wan Saerah dan Nelly. Cerita Sifar dan Tan Da-u bergerak selari. Dengan tamatnya cerita Sifar maka tamat juga cerita Tan Da-U.

KEKUATAN NOVEL

1)Pengajaran

Sejujurnya, saya merasakan Daun adalah kisah pengalaman Malim Ghozali P.K sendiri. Hal ini kerana Pak Malim pernah mengkaji mengenai sains Al-Quran sehingga terhasilnya The Profound Truth: Understanding Perfection. Pengalaman beliau ini ditumpahkan pula kepada bentuk karya kreatif menerusi watak Sifar. Manakala, cabaran kerenah birokrasi politik dan kelicikan pihak berkepentingan yang dihadapi oleh watak Tan Da-U diambil daripada pengalaman Pak Malim berkhidmat sebagai pegawai tadbir dan diplomatik selama 21 tahun.

Sesebuah cerita yang berkesan adalah apabila pengarang tidak membebel seperti ceramah mengenai mesej yang mahu disampaikan. Sebaliknya kesedaran atau pengajaran akan terbit di benak pembaca seiring dengan naratif. Tidak perlu perenggan yang berjela, dipetik ayat Al-Quran, diselit Hadis Nabi, ditulis segala ceramah sehingga membosankan pembaca. Daun adalah naskhah yang mengkritik sikap sebilangan masyarakat yang terpesona dengan kilauan palsu ideologi barat, sikap ahli politik yang hanya tahu menjaga tembolok sendiri, sikap pihak berkepentingan yang tidak kisah dengan nasib orang tertindas dan lain-lain kritikan. Ramai orang boleh berceramah tentang perkara-perkara ini, tetapi tak ramai yang mampu menggarap sebuah pengajaran dalam bentuk cerita.

2)Konsep cerita dalam cerita

Saya pernah 2 buah novel yang menggunakan konsep sama; D.U.B.L.I.N (Wan Nor Azriq, ITBM) dan Serigala (Lokman Hakim, Fixi). D.U.B.L.I.N menggunakan nota kaki sebagai pemisah antara 2 cerita. Serigala pula menggunakan bab dan kaedah pemerengganan bagi membezakan antara cerita.

Daun agak unik. Naratif Sifar dan Tan Da-U digabungkan dalam satu perenggan. Tiada sebarang pemisah nyata antara kedua-duanya. Ketika pembaca sedang leka menikmati salah satu sebuah cerita, tiba-tiba sahaja mood dan nature cerita berubah. Misalnya, saya sedang berkerut memarahi sikap Dr. Zaidah yang lancang menyebarkan fahaman pluralisme dan menyelar ceramah Sifar, tiba-tiba pada ayat seterusnya masuk cerita Tan Da-U sedang bermonolog mengingati kisah lampaunya.

Janggal? Tidak. Bahkan saya rasa sangat lancar membacanya. Pak Malim sangat pintar menyusun bahasa sehingga 2 cerita dengan mood berbeza berjaya digabungkan dalam sebuah perenggan. Adakalanya, situasi dan konflik dalam hidup Sifar dan Tan Da-U menjadi selari, kerana konflik yang dihadapi Sifar menjadi ilham untuk beliau meneruskan kisah Tan Da-U.

3)Falsafah “Dalam Daun Ada Daun”

Daun adalah objek yang sering diasosiasikan dengan takdir/usia/kehidupan. Riwayat sehelai daun, yang bermula dari warna hijau (muda) kepada coklat (tua) dan berakhir dengan gugur ke tanah (mati) sering kali dijadikan subjek kepada karya kreatif. Begitu juga dengan novel Daun.
Tetapi Daun di dalam novel ini, boleh diterjemahkan kepada 2 bentuk pemahaman. Daun=Cerita dan Daun=Takdir.

Daun=Cerita ditunjukkan jelas menerusi watak Sifar dan Tan Da-U. Dalam daun ada daun. Dalam cerita ada cerita. Malim Ghozali PK, seorang pengarang sedang menceritakan tentang Sifar, seorang novelis yang sedang menulis kisah tentang Tan Da-U, seorang jurufota di pekan kecil.

Daun=Takdir pula dapat dilihat lewat kisah cinta Sifar-Wan Saerah dan Tan Da-U-Nelly. Naratif cinta keduanya mengarah kepada pertemuan semula setelah berpisah sekian lama. Bezanya terletak pada pengakhiran pertemuan tersebut, sama ada mereka bersatu dalam sebuah perkahwinan atau berpisah untuk kebaikan bersama. Jadi adakah falsafah dalam daun ada daun yang mewakil takdir ini hanya tentang hal remeh seperti cinta? Oh. Tidak sahabatku. Ada persoalan tentang takdir yang lebih dalam dan berfalsafah terkandung dalam novel Daun. Sengaja saya tidak ceritakan, tak seronoklah begitu, kan?

P/s: Daun menjadi subjek pelajaran pertama Sifar dengan Tuan Toha dalam siri pengajian tasawwuf mingguan mereka. Mereka yang suka merenung maksud alam dan kehidupan mesti suka dengan ceritanya. Nak tahu macam mana bestnya, beli dan baca sendiri.

KELEMAHAN NOVEL

Tiada benar-benar sempurna dalam kehidupan. Pasti ada lompong di situ dan di sini. Begitu juga dengan novel Daun, walau sehebat mana saya angkat ia. Kelemahan novel Daun hanya terletak pada sebuah bahagian. Iaitu bahagian sewaktu Sifar membentangkan kertas kerja di sebuah persidangan tentang agama dan bangsa. Kritikan beliau terhadap kebobrokan ideologi pluralisme dan liberalisme sangat ringan, sekadar menyentuh permukaan. Hujah yang disampaikan hampir kosong. Maka, pertembungan idea tidak berlaku. Inilah bahagian di mana Pak Malim seperti berceramah di dalam novel (tetapi sikit sahaja, mujurlah) dengan menyumbat sebanyak mungkin ayat-ayat retorik tentang kembali kepada Islam tanpa inti kuat.

Pak Malim juga cenderung kepada pendekatan Bucailisme yang menyimpulkan bahawa Al-Quran mengandungi ilmu pengetahuan yang selari dengan penemuan sains moden abad kini. Pendekatan sebegini telah mengundang banyak kritikan dari para cendekiawan kerana Al Quran bukanlah kitab sains. Tidak semua ayat-ayat Al -Quran merujuk kepada fenomena alam yang boleh dikaji secara empirikal. Al Quran adalah kita peringatan dan petunjuk (Al-Huda, Az-Zikr), bukannya kitab informasi. Jadi, tak hairan kalau banyak lagi fenomena selain air laut dan air tawar tak bercampur, teori big bang, kulit ada 7 lapisan yang tak ditemui ayat di dalam Al Quran. Malah, Bucailisme ini akan menjadi bahaya kerana wahyu sifatnya tidak berubah. Kekal. Manakala, sains pula adalah sesuatu yang sentiasa berubah, seiring dengan pengetahuan dan pengalaman zaman. Kerana sains dikaji melalui pancaindera dan siri ujian. Wahyu tidak dicerap dengan akal semata, tetapi juga rohani. Ok cukup berceramah.

KESIMPULAN

Daun adalah novel yang sangat baik untuk dibaca. Pembaca akan menemui ramuan agama, politik, cinta, nostalgia, pengalaman kampung, falsafah, kekeluargaan dan lain-lain elemen yang tergaul dengan sebati. Kita tidak akan muak dengan kisah yang sudah dihidangkan. Cukup rasa.

Sebagai sebuah novel, Daun bukan sekadar berdiri sebagai sebuah cerita panjang, Pak Malim akan sekali sekala menyisipkan puisi di sela-sela naratif. Kerana watak Sifar dan Tan Da-U dibina sebagai penulis puisi juga. Sebagai pentup ulasan ringkas serba sederhana ini, saya turunkan satu rangkap puisi yang dahsyat dan wow bagi saya.

Kau mengajarku tentang daun
dalam daun ada daun
Kau mengajarku ilmu daun
dalam daun Kau mengajarku
daun di alam daun
punya nama punya raga
punya tenaga punya deria
Punya-Mu.


Selamat mencari dan membaca!


Naskhah yang saya baca ini merupakan edisi santai terbitan Wira Bukit Sdn Bhd, cetakan kedua tahun 2008. Saya menyatakan rumah penerbitan dan tahun cetakan kerana saya difahamkan Cinta Fansuri mempunyai banyak versi, kulit keras dan kulit lembut, daripada pelbagai rumah penerbitan. Hal ini menunjukkan Cinta Fansuri adalah sebuah naskhah dalam kelas tersendiri, dihargai dan disanjung oleh ramai pihak.

Cabaran Bacaan 32 anjuran Buku Jalanan Titi kali ini benar-benar menepati maksud ‘cabaran’. Kami semua diminta untuk memilih sebuah buku yang melebihi 151 mukasurat, kemudian menghabiskan bacaan dalam masa 24 jam. Setelah tamat bacaan pula, kami diminta untuk menghasilkan sebuah ulasan bagi buku tersebut ditambah dengan sebuah lagi ulasan tentang buku yang sudah dibaca sepanjang cabaran yang dirasakan wajar untuk dibaca sama oleh orang lain. Ternyata, pihak penganjur benar-benar serius untuk hanya memilih yang terbaik bagi dinobatkan sebagai juara dalam cabaran ini.

Saya masih teringat peristiwa sewaktu berkunjung ke sebuah kedai (stor?) buku terpakai di Puchong. Pemiliknya menegur saya sewaktu menghulurkan Cinta Fansuri bersama buku-buku lain untuk membuat bayaran. “Cinta Fansuri ini sukar dibaca. Saya tak faham jalan ceritanya.” Saya sekadar menghadiahkan sebuah senyuman kepadanya. Komen tersebut mungkin sekadar cara pemilik itu berbasa-basi dengan pelanggan. Sewaktu cabaran ini diumumkan, gerak hati saya kuat mengarahkan supaya memilih Cinta Fansuri. Entah mengapa, komen pemilik kedai buku yang sekadar angin lalu itu tiba-tiba berbekas dalam ingatan. Ia semacam memberikan sebuah persepi bahawa, ya, Cinta Fansuri adalah naskhah yang  sukar difahami. Saya memulakan bacaan dengan persepi itu di minda.

Novel ini bercerita tentang Fansuri, anak Melayu yang membawa diri bersama hati yang kecewa ke Paris dan menetap di sana selama hamper tiga dekad. Cinta tulusnya kepada Fahiyaton dibalas dengan penolakan kejam selama tiga kali dalam tempoh yang panjang, walaupun Fansuri sering mendengar ikrar cinta Fahiyaton pada awal percintaan terngiang-ngiang saban waktu.  Benar-benar menyakitkan.  Ini kisah cinta utama.

Seterusnya, novel ini turut menghidangkan kita kisah cinta Bambrio, tenaga pengajar bengkel menulis cerpen sejarah bersama Ratna Murni, dosen Universitas Gadjah Mada. Kasih Bambrio ditolak kerana Ratna Murni merasakan dia memiliki persepektif cinta yang rumit. Tidak berjejak.

 Dalam masa yang sama, pembaca dibawa untuk merasai kisah cinta antara Damri dan Wan Siriyah. Damri selaku penggerak utama novel adalah tenaga penagajar bengkel cerpen sejarah, seperti sahabatnya Bambrio. Damri pernah mengisyaratkan rasa hatinya kepada Wan Siriyah tetapi Wan Siriyah seperti sengaja mahu mengalihkan kepada topik yang lain. Atas kuasa cinta, Damri menyanggupkan diri untuk memenuhi permintaan Fahiyaton mencari Fansuri di Paris, meninggalkan tugas hakiki sebagai tenaga pengajar bengkel. Damri langsung tidak menghiraukan suasana Perang Teluk yang semakin membahang, memungkinkan nyawanya melayang.

Seperti tidak cukup dengan tiga kisah cinta pelbagai warna, kita dihadapkan pula dengan Kisah cinta lelaki Edang Epala, datuk kepada nenek 92 tahun yang sentiasa memulakan setiap perkataannya dengan huruf vowel, sehingga terbunuhnya ‘Uan Icad Ussel’. Kisah pertarungan merebut cinta di antara anak tempatan dengan lelaki Inggeris yang terkorban, dan mayatnya didapati terapung di sisi beberapa buah tembulus.

Cinta Fansuri adalah sebuah hikayat cinta yang dibina secara konvensional, permulaan-perkembangan-peleraian. Tetapi plotnya saling bertindihan. Ceritanya dianyam dengan tali benag penuh seni juga misteri. Ia membingungkan tetapi memuaskan. Saya telah memfokuskan sehabis daya untuk memahami setiap plot novel, terus menyangka saya sudah menguasai jalan cerita Cinta Fansuri.

Ah, ternyata saya silap. Permulaan dan pengakhiran novel yang tidak sampai sepertiga mukasurat itu telah menghenyak saya terdiam di kerusi duduk. Tiada konklusi pasti. Agaknya Pak Samad memang sengaja membiarkan teka-teki itu terus bergerak di minda pembaca.

Novel ini ditulis daripada pelbagai sudut pandang. Ada bahagian yang menggunakan “aku” sebagai pencerita. Ada juga yang menghalakan cerita dengan menggunakan “dia”. Naratif dalam pelbagai bentuk ini seperti kepingan jigsaw puzzle, terkadang mempunyai bentuk dan warna seakan sama. Pembaca perlu teliti dan bijak untuk meletakkan kepingan puzzle pada tempatnya untuk mendapatkan gambaran keseluruhan. Sayangnya, walaupun setelah semua kepingan puzzle disusun, gambar yang terhasil pula menjemput kepada pelbagai tafsiran.

Banyak elemen menarik dalam Cinta Fansuri. Pak Samad ada berbicara tentang konflik Saddam Hussein dan Bush dalam Peranfg Teluk. Krisis antara Iraq dan Kuwait. Perihal Di Negeri Belalang karya Anwar Ridhwan juga dimasukkan. Pak Samad turut menurunkan beberapa pandangan beliau terhadap sastera, yang menjadikan naskhah ini multi-ilmu.


Mungkin saya tidak berpuas hati kerana saya tidak memahami Cinta Fansuri, tetapi saya tetap jatuh cinta dengan langgam bahasa Pak Samad yang indah dan berseni.

Tuesday 7 November 2017



Untuk cabaran 32 Buku 2017 Buku Jalanan Titi kali ini, saya memilih buku Memoir A. Samad Ismail Di Singapura sebagai bahan bacaan bertemakan autobiografi atau biografi. Sebelum ini saya tidak pernah mengenali siapakah gerangan A. Samad Ismail, apakah karya-karya terbaik beliau, apakah bentuk sumbangan beliau kepada khazanah persuratan bangsa. Untuk itu, saya sangat berterima kasih kepada pihak penganjur kerana memilih tema autobiografi/biografi kerana ia menyebabkan saya tergerak untuk memilih buku ini yang sudah sekian lama dibeli, tetapi dibiar menyepi di dalam rak.

Seusai membaca memoir ini, saya seperti diterjah sebuah perasaan yang tak menentu. Kagum, menyesal dan sedih. Kagum kerana beliau mempunyai pengalaman langsung dengan tokoh wartawan lagenda, Rahim Kajai. Pernah hidup sezaman dengan Pak Sako. Beliau juga merupakan pendidik Usman Awang dan Said Zahari dalam bidang kewartawanan sewaktu mereka di Utusan Melayu. Paling mencengangkan, beliau sudah memegang posisi tinggi selaku ketua pengarang Berita Malai sewaktu zaman pendudukan Jepun seawall usia 20 tahun! Rasa sedih menerpa kerana beliau sebenarnya menempuh pelbagai jenis dugaan dan penderitaan sepanjang menjadi orang surat khabar. Sejak daripada awal, bidang kewartawanan tidak pernah menjanjikan kesenangan dan kemewahan kepada A. Samad Ismail. Beliau pernah bekerja 3 bulan tanpa gaji, malah berbasikal ke Utusan Melayu! Tiga kali disumbat ke dalam penjara tanpa bicara dan dihakimi. Cacian dan hinaan pula sudah menjadi lumrah dalam kehidupan beliau. Namun, A. Samad Ismail terus mengetuk mesin taipnya dan merakam seluruh detik penting dan peristiwa bersejarah untuk tatapan anak bangsa. Saya juga menyesal kerana tidak mengenali beliau lebih awal, beliau juga banyak menulis karya kreatif selain berkecimpung dalam dunia wartawan. Sebelum ini, saya sering ternampak posting jualan karya kreatif A. Samad Ismail di Facebook dengan harga mampu milik. Tetapi saya tinggalkan, tanpa terdetik sedikit pun rasa untuk memilikinya. Kerana saya sangat naif, menganggap beliau bukan nama yang besar dalam dunia sastera kita. Ternyata kenaifan itu melahirkan rasa kesal tak terhingga.

Secara umumnya, memoir ini merakamkan pengalaman dan riwayat hidup beliau sejak kecil di Kampung Melayu, Singapura. Pak Samad adalah seorang yang kuat membaca. Beliau dikenali sebagai pelajar yang pintar sewaktu di bangku persekolahan. Kehebatan Pak Samad sebagai wartawan lagenda bermula dengan kemasukan beliau ke dalam Utusan Melayu. Di sana beliau belajar menaip dan trengkas. Mengenali Rahim Kajai dan Yusof Ishak. Utusan Melayu jugalah yang mengajar Pak Samad merokok, mencarut, bermain terup, mendampingi perempuan, menari, minum. Utusan Melayu meluaskan pengalaman beliau, dihantar ke rumah persundalan, ke mahkamah untuk membuat liputan dan sebagainya. Beliau berpengalaman mengendalikan jabatan pengarang bagi dua buah akhbar sewaktu zaman 40-60an dahulu, Utusan Melayu dan Berita Malai. Utusan Melayu mendekatkan Pak Samad kepada British. Berita Malai pula mengajar Pak Samad tentang Jepun.

Banyak kisah-kisah menarik yang ditumpahkan ke dalam memoir ini. Memandangkan ini adalah sebuah ulasan bebas, maka saya memilih untuk menulis tentang apa yang saya rasa sahaja sebaik membaca buku ini. Adapun segala perincian cerita yang terkandung dalam memoir ini, lebih baik kalianlah yang mengusahakan untuk memilikinya. Bukankah itu lebih memuaskan hati berbanding membaca spoiler dalam sebuah ulasan buku?



Semua pasti kenal Yasmin Ahmad bukan? Beliau seorang pengarah filem, penulis, penulis skrip dan creative director di Leo Burnett, Kuala Lumpur. Sebelum itu beliau memulakan karier dalam bidang pengiklanan sebagai copywriter di Ogilvy & Mather. Beliau juga pernah bekerja di IBM dalam bidang pemasaran. Beliau dilahirkan pada 7 Januari 1958 dan meninggal dunia pada tahun 2009 akibat serangan strok.
Buku ini dikira sebagai autobiografi. Walaupun ia tidak menceritakan biodata beliau secara terperinci tapi pada saya ia cukup membuatkan saya kenal akan beliau. Buku ini ringkas dan padat. Saya baca in one sitting. Ia merakamkan anekdot berupa kenangan bersama beliau, perbualan melibatkan beliau, nasihat serta prinsip beliau, puisi-puisi beliau dan juga memuatkan dua skrip beliau.
Jarang saya beri 5 bintang untuk sesebuah buku. Tapi untuk buku ini, 5 bintang saya beri dengan murah hatinya dan saya bersemangat untuk rekomen anda buku ini. Mengapa?
Pertama, reka bentuk buku ini sangat menarik. Kulitnya yang menjadi sarung seperti envelop atau poket, direka gaya minimalis. Nampak simple tapi sebenarnya meaningful. Ia kelihatan seperti buku tak siap. Pada belakang buku kemudian tertulis This book is not damaged. It is intentionally designed with the “yet-to-be-perfected” look. Read it, and you’ll understand why. God willing.” Selepas membaca saya faham bahawa yet-to-be-perfected look sebenarnya disinonim dengan seluruh zahir dan batin Yasmin Ahmad. Saya begitu suka dengan keunikkan buku ini dan saya ingin menyimpan senaskhah. Buku yang saya baca inipun adalah buku rakan. Saya sangat berterima kasih kepadanya kerana meminjamkan beberapa hari.
Kedua, anda pasti akan mempersoalkan “macam mana mahu jadi sepositif Yasmin Ahmad?!” atau “kenapalah Yasmin Ahmad ni positif sepanjang masa?” ataupun “Yasmin Ahmad ni orang paling positif dalam dunia eh?”. Ya beliau adalah seorang manusia yang positif setiap masa. Beliau mampu membuatkan kesulitan itu nampak seperti kebiasaan atau kesenangan. Ini adalah impak paling besar bagi saya dari buku ini. Beliau seakan mengubah perspektif saya terhadap sesuatu situasi. Mengendalikan situasi itu dengan lebih baik. Bila mana saya menjadi pesimis, saya akan cuba mengingati arwah Yasmin dan mencarigali tenaga positif saya kembali. Malah masalah tidak akan tampak terlalu besar.
Ketiga, Yasmin orangnya penuh dengan kasih sayang. Sangat hopeless romantic gitu kalau dalam bahasa inggerisnya. Beliau memberi dan menerima kasih sayang tak kira di mana, bagaimana, daripada dan kepada siapa. Beliau sanggup membalas kejahatan dengan kebaikan. Beliau juga mengajar kita untuk menyayangi diri kita sendiri. Ada diselit penentangannya terhadap bunuh diri. Sesiapa yang ingin membunuh diri, beliau akan suruh seseorang itu menyenaraikan perkara/angan-angan yang ingin dicapai semasa hidup. Responnya, “kalau awak rasa angan-angan awak tersebut tak segila keputusan awak bunuh diri ni, baik awak tunaikan angan-angan awak tu daripada bunuh diri”. Itu kata-kata paling bermotivasi yang tidak terfikir oleh saya.
Keempat, membaca buku ini akan membuatkan anda lebih menghargaibakat beliau. Anda akan teringin menonton kembali iklan-iklan Petronasnya pada musim perayaan dan filem-filemnya. Beliau adalah penyampai cerita yang baik. Satu perkara yang saya suka, Yasmin buat segalanya dari hati, untuk Mak dan Abah serta kerana Allah. Beliau tidak membuat sesuatu itu jika ia tiada makna. Sesuatu itu di sini saya maksudkan tentang filem, skrip, puisi, iklan—digital mahupun cetakan (televisyen, banner, campaign, flyer), slogan syarikat dandll.Beliau percaya bahawa jika sesuatu yang kita buat itu tidak dekat dengan kita dan kita pun tidak merasakannya atau mengalaminya, apatah lagi orang lain yang melihat hasil karya tersebut—mampukah emosi sampai pada mereka? Sebab itu kita lihat semua iklannya sarat dengan mesej dan perkara yang dekat dengan rakyat Malaysia. Saya baru tahu filem-filem yang dia bikin sedikit sebanyak berkisar tentang keluarganya. Anda juga akan tahu kenapa Gubra tidak dieja sebagai Gabra jika anda baca buku ini. Walaupun menonton filemnya sebagai audien biasa, saya dapat rasa dekat dengan beliau malah rindu terhadap beliau padahal saya bukannya kaum keluarga ataupun kenalan beliau. Satu lagi sifat beliau yang terpuji ialah apabila orang puji beliau hebat. Beliau akan berkata “Bukan saya yang hebat. Allah yang hebat.”
Kelima, buku ini memaparkan Yasmin seperti mana ia perlu dan sepatutnya. Jikalau Yasmin masih hidup, beliau pasti bersetuju dan tersenyum kerana ini sebaiknya beliau mahu diperingati. Buku ini adalah kompilasi memori-memori tentang beliau yang diceritakan oleh mereka yang pernah kenal beliau atau terkesan dengan kehadiran beliau. Banyak aspek berkenaan beliau yang dikongsi dalam buku ini. Agama, bangsa, budaya, kemanusiaan, humor, humility, kebaikan, kepimpinan, keprihatinan, kerjaya, etika, kesyukuran, kemaafan dan cinta. Buku ini seakan pesanan buat kita semua. Walaupun beliau sudah lama meninggalkan kita, beliau seperti hidup di dalam jiwa sesetengah manusia dan hidup melalui karya-karyanya. Beliau adalah satu inspirasi yang besar buat saya. Rakan saya ada berkata “tidakkah pelik orang yang dah pergi boleh buat kita ingin jadi manusia yang lebih baik dan gembira?“
Saya yakin sesiapa yang baca buku ini akan tersentuh. Kalau buku ini tidak mampu mengubah hidup anda, sekurang-kurangnya ia mampu mengubah diri anda


Pertama kali mendengar nama Syed Mokhtar Bukhary ini adalah sewaktu aku di tingkatan lima sekolah menengah. Seorang kawan aku memegang sebuah buku rujukan yang ada cop Yayasan Bukhary. Katanya buku free. Aku tanya balik, macam mana boleh free? Dan dia jawab, “ini orang kaya Melayu yang bagi. Satu Malaysia dia bagi.” Dalam fikiran aku yang masih tak cerdik masa tu pun terlintas “Fuhh kaya betul.”

Orang kaya yang aku kenal (tahu) kat Malaysia ni dua orang sahaja. Itupun Cina. Kalau suruh disebutkan siapa paling kaya di Malaysia, memang aku akan sebut Lim Goh Tong dan Boon Siew. Itupun entah betul ke tidak yang paling kaya tu. Mungkin waktu itu mereka top cartalah kot. Aku bukan peduli pun dengan orang kaya. Kalau aku tahu pasal orang kaya pun, aku tetap miskin. Kah!

Tetapi, ‘orang kaya Melayu’ ini telah menyuntik sedikit keterujaan aku untuk kenal orang kaya, lagipula dia Melayu. Bukan aku rasis. Aku cuma teruja sebab ada juga rupanya Melayu yang kaya raya (sekurang-kurangnya atas usaha yang betul-betul sendiri). Ahaha. Lemah betul pengetahuan aku. Jadi sejak dari peristiwa tu aku rasa aku nak tahu siapa sosok Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Bukan main seronok lagi aku bila dapat tahu buku Biografi Syed Mokhtar Bukhary dah keluar, waktu tu tahun 2012. Wah! Mudah ni aku nak baca pasal keseluruhan dia dari dalam satu buku je. Telus sikit, tak macam dalam carian google mungkin. Sebab sumbernya pastilah benar-benar belaka. So 2013 aku beli, tapi sayangnya sempat habis tak sampai suku buku pun aku baca. Dek kekangan waktu dan seterusnya lupa untuk menyambung baca, aku pegang semula untuk cabaran Buku Jalanan Titi kali ini. 4 tahun kemudian.

Syed Mokhtar Al Bukhary. Nama pun Syed, jadi nak claim dia Melayu pun, tak Melayu sangatlah kiranya, susur galur dia dari keluarga Tanah Arab juga. Tapi cara hidup dia memang Melayu lah sedari kecil, membesar di Alor Setar dan kemudian dipelihara oleh bapa saudaranya di Johor untuk beberapa tahun sebelum kembali ke pangkuan keluarga semula atas sebab bapa kepada Syed Mokhtar tak mahu dia masuk tentera macam bapa saudaranya.

Syed Mokhtar sekolah tak habis sampai tingkatan lima, sebab perniagaan lembu bapak dia merudum lepas kes penyakit kuku mulut. Jadi dia terpaksa berhenti sekolah untuk bekerja dan bagi laluan adik-adik belajar. Dari situlah dia mula berniaga sendiri pakai duit modal yang dia kumpul masa dia tolong bapak dia meniaga lembu dulu. Bermula dengan perniagaan servis pengangkutan lori, kemudian ke perniagaan beras, makin berkembang bila Mahathir perkenalkan Dasar Ekonomi baru yang bukak lebih banyak peluang kepada bumiputera sampailah ke peringkat antarabangsa dengan pelbagai jenis perniagaan yang diceburnya.

Kalau nak sebut semua syarikat dia ni rasanya panjang tak sudah nanti review ni, cukuplah aku senaraikan syarikan gergasi yang dia ada pemilikan/share besar dia dalamnya contoh Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor, Tradewinds Group, yang diambil alih pula MMC, DRB-HICOM, PERNAS. Kiranya perniagaan apa dia tak berani buat? Pengangkutan dan logistik, beras, gula, hartanah, pelabuhan dan lain-lain. Perniagaannya juga tak terkhusus dalam Negara sahaja. Kerjasama berlaku dengan banyak Negara termasuk China, Jepun, Russia, India, Afrika, Timur Tengah dan banyak lagi. Yang mana selok belok industri perniagaan yang dia tak tahu, dia akan ambil tahu.

Hari ini (setakat buku ini ditulis) Syed Mokhtar dengan tiga syarikat gergasinya menggaji lebih 110,000 orang secara langsung dan 250,000 orang kakitangan secara tidak langsung. Beliau sangat menjaga ekuiti, integriti, tak terlibat dengan sistem ali-baba mahupun jalan mudah untuk mendapatkan keuntungan, dan sangat menjaga kebajikan pekerja. Bukan setakat pekerja, tapi ramai juga yang mendapat faedah dari hasil perolehannya.

Dia percaya “Kekayaan mesti diagih. Apabila anda membuat wang, anda harus juga memberi.” Begitulah tertubuhnya Yayasan Albukhary, Kompleks Ilmu Sharifah Rokiah yang mana didalamnya terdapat pelbagai fasiliti dan perkhidmatan termasuklah hospital yang merawat orang secara percuma dan banyak lagi kebajikan lain yang telah dilakukan. Beliau juga member biasiswa bukan setakat pelajar dalam Negara, pelajar dari luar Negara pun ada yang mendapat tajaan dari beliau.

Ok. Itu sahajalah aku dapat review. Naik jatuh dia untuk Berjaya, dengan masalah skandal politik yang kacau urusan dia, bolehlah kalian baca sendiri dalam buku Biografi Syed Moktar Bukhary ini. Really inspiring! Penulisan oleh Premilla Mohanlall ini juga sangat bagus. Lengkap dengan fakta sejarah dan fakta-fakta am tentang ekonomi serta macam-macam lagi yang diselit dalam menceritakan kisah Syed Mokhtar ni. Kagum betul aku dengan penulisan susah nak cari pincang sebegini.

Akhirul kalam, orang yang aku fikir “fuhh kaya betul” dengan hanya menyedekahkan buku rujukan free ke seluruh Malaysia tu sebenarnya kaya dia bapaklah kaya raya ratu maharaja. Lebih dari otak aku dapat jangkau rupanya. Nasib baca buku ni. Muahaha!

Thursday 2 November 2017



TAJUK : DETIK-DETIK HIDUPKU.. IMAM HASSAN AL BANNA
Oleh : Nasra

Ini merupakan antara cabaran yang agak berat bagi saya kerana saya kurang meminati buku jenis biografi dan sebenarnya saya menjumpai buku ini seminggu sebelum tarikh cabaran berakhir !

Buku ini menceritakan tentang kisah perjalanan hidup seorang anak muda yang berjaya mengubah cara hidup orang Islam pada zamannya. Beliau sangat peka terhadap sekeliling yang banyak berlakunya perkara maksiat lantas berusaha melakukan sesuatu untuk memulihkan cara hidup orang islam ketika itu. Keberanian dalam menyampaikan kebenaran menyebabkan dakwah beliau berjaya tersebar ke seluruh tanah Arab walaupun banyak penentangan daripada golongan ulama sendiri, beliau tetap lantang menyuarakan kebenaran. Antara perkara yang menarik minat saya dalam buku ini adalah cara beliau dibesarkan. Beliau dibesarkan dengan suasana yang baik dan penuh disiplin. Ayah beliau merupakan guru pertama bagi beliau. Terdapat satu bahagian dalam buku ini menceritakan rutin harian beliau dengan adiknya yang diatur dengan baik oleh ayahnya dan diikuti oleh mereka dengan penuh disiplin. Hal ini membuktikan, seorang yang hebat itu lahir hasil disiplin yang telah ditanam dalam diri sejak kecil lagi. Buku ini menunjukkan pembentukan karakter bermula dari rumah.

Selain itu , kaedah dakwah yang disampaikan oleh Imam Hassan Al Banna sangat menarik dengan pergi ke kedai-kedai kopi berbanding memilih untuk berada di masjid. Beliau merupakan seorang pemerhati yang sangat baik. Beliau menekankan perubahan individu seorang muslim sebagai langkah awal mengembangkan Islam sebelum menubuhkan sebelum menubuhkan Ikhwanul Muslimin. Pemikiran Imam Hassan Al Banna yang kritis dan perancangan yang strategik menjadikan gerakan yang diasaskannya berjaya menjangkau angka setengah juta ahli yang betul-betul aktif !

Beliau pada mulanya berdakwah kepada masyarakat umum sebelum melibatkan diri dalam politik. Satu gerakan menentang pihak British telah diwujudkan dan seperti yang kita maklum, Ikhwanul Muslimin adalah pembela Palestin yang utama. Banyak lagi pencapaian yang dicapai beliau sebelum syahid pada umur yang agak muda (43 tahun) di tangan tentera British.

Antara perkara yang boleh dijadikan pengajaran dalam buku ini adalah semangat Imam Hassan Al Banna dalam menegakkan syiar Islam dalam keadaan apa sekalipun. Semangat juang, pemikiran dan akhlak beliau perlu dijadikan teladan untuk mengubah sesebuah masyarakat itu.

Buku yang menginspirasikan dan menyedarkan kita masih ada banyak perkara yang perlu dilakukan untuk ummah ini.

Selamat membaca !