.

.

Wednesday 25 October 2017




Tajuk : Shahnon Ahmad, Sasterawan Negara
Penulis: Muhammad Yusuf Hassan
Terbitan : DBP
Halaman: 156

Cabaran kelima yang diberikan kepada para peserta kali ini adalah buku memoir/autobiografi. Buku memoir atau autobiografi merupakan salah satu genre kegemaran saya sendiri. Apabila mendapat cabaran ini saya berasa amat gembira kerana ramai tokoh-tokoh dan karakter-karakter yang bermain di fikiran saya. Namun akhirnya setelah membaca novel Ranjau Sepanjang Jalan oleh Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad saya merasakan seperti terpanggil-panggil untuk membaca riwayat hidup penulis yang lantang ini dengan lebih lanjut.

Buku yang berhalaman 156 muka surat ini memaparkan lima bab utama yang mencakupi riwayat hidup, pengalaman sikap dan pemikiran, perbincangan karya,petikan karya popular dan juga ucapan kertas kerja terpenting. Sepanjang lima bab ini perkaitan perjalanan hidup sasterawan negara ini diceritakan dengan begitu menarik. Cabaran supaya pembacaan ini dapat mendalami dan mendekati tokoh dengan lebih dekat dapat diringkaskan sebagaimana berikut.

Shahnon Ahmad dilahirkan pada tahun 1933, di Kampung  Banggul Derdap, sebuah pedalaman di daerah Sik, Kedah Darul Aman. Kedua-dua ibu bapanya bukan warganegara Malaysia. Bapanya berasal dari Medan,Sumatera manakala ibunya pula berasal dari Pattani,Thailand. Kedua-dua ibubapa Shanon merupakan insan-insan yang gigih dan tabah dalam meredah gelora kehidupan lantaran itu menyebabkan  Shahnon amat kasih kepada kedua ibu bapanya dan keduanya telah memberi kesan yang besar dalam kehidupan Shahnon. Pengorbanan bapa dan ibunya seringkali digambarkan oleh watak-watak di dalam karya-karya kreatifnya sendiri.

Kehidupan Shahnon dapat dibahagikan kepda tiga zaman utama iaitu zaman kanak-kanak, zaman remaja dan juga zaman dewasa. Setiap dari zaman ini telah memberi kesan yang berbeza terhadapnya dan ini turut digambarkan dalam penulisannya. Ketika kecil, Shahnon seorang yang amat pemalu pendiam dan tidak suka bercampur dengan orng ramai sebaliknya beliau banyak menghabiskan masa bersama keluarga. Apabila di sekolah rendah, Shahnon mula membiasakan diri berada dalam keriuhan orang ramai. Di zaman remaja pula, Shahnon mula mengenali orang dari pelbagai latar belkang tetapi ketika ini bakatnya belum condong terhadap bidang kesusasteraan sebaliknya beliau lebih dikenali sebagaii seorang yang suka membuat lawak jenaka sahaja. Sebaik tamat belajar di peringkat menengah, minatnya terhadap bidang penulisan mula bercambah. Beliau banyak menulis tentang kehidupan dan masyarakat sekelilingnya. Hal ini mugkin disebabkan sebab-sebab peribadi yang pernah dilaluinya. Melangkah ke alam pekerjaaan, Shahnon semakin giat menulis dan penulisannya semakin matang dan mengikut keadaan semasa. Pengarang prolifik ini serigkali mengkritik pihak-pihak yang pincang dalam segenap aspek tanpa mengira latar.

Secara keseluruhannya, nilai terpenting yang dapat dipelajari hasil pembacaan riwayat hidup sasterawan negara ini ialah tidak pernah melupakan asal-usul kehidupan sendiri. Walaupun beliau telah banyak merantau dalam dan luar negeri, beliau tetap merasakan bahawa Kg Banggul Derdap lah yang telah mendewasakannya dan mengajarnya erti tentang sebuah kehidupan yang sebenar sehinggakan hampir kesemua karya-karya agung beliau dilatari oleh suasana di  kampung tersebut. Berada dalam masyarakat yang penuh dengan kedaifan dan kesusahan telah benar-benar menjadikan Shahnon Ahmad seorang yang sentiasa peka akan kehidupan bermasyarakat. Sememangnya jati diri Shahon Ahmad sebagai penulis besar yang berjiwa kedesaan sangat utuh dan takkan pernah goyah buat selamanya.