.

.

Sunday 2 July 2017

Review Ketiga Mencari Jalan Pulang Oleh Sharina M Salim


Ulasan Buku: Mencari Jalan Pulang, Dari Sosialisme Kepada Islam (Kassim Ahmad)
Oleh: Sharina M Salim


Saya memulai bacaan ini dengan menyemak profil penulis yang disertakan dengan ringkas di laman Goodreads. Sejujurnya saya tidak pernah ambil tahu siapa Kassim Ahmad dan hanya mengenali beliau secara tidak langsung ketika saya masih belajar di kampus, kerana label yang diberikan kepada beliau “anti hadis”, figur yang  sesat yang membawa fahaman bahaya kerana boleh memesongkan akidah. Saya pun tidak pernah semak mengapakah beliau dikatakan anti hadis dan 10 tahun kemudian (kini), saya berpeluang membaca salah satu karya beliau yang diharamkan dan cuba memahami secara objektif mengapa ia diharamkan.

Seusai membaca profil ringkas beliau, saya terdiam sebentar kerana, beliau yang saya kenali dari akhbar dan tabloid sebenarnya mempunyai kepakaran lain yang selayaknya diketahui masyarakat generasi saya dan ke hadapan, dan bukan semata-mata dari karya-karya kontroversi beliau yang diharamkan seperti: “Hadis: Satu Penilaian Semula” dan buku yang saya baca (rujuk tajuk ulasan) ini.  Beliau rupanya menulis “The Characterization of Hang Tuah”, yang merupakan karya yang mengangkat namanya, dan menterjemah karya falsafah “Plato”, tulisan R.M Hare, cerita pendek berkisar kehidupan orang melayu, puisi, tulisan berkenaan teori falsafah dan keadilan sosial. Pada zamannya, beliau adalah seorang pemikir dan ahi falsafah yang dihormati. Lingkungan sahabat dan kenalan beliau yang disebut-sebut dalam buku ini, kesemuanya figur hebat yang dihormati dan masih membawa mej dan nama baik  hingga kini; antaranya Prof Ungku Aziz, A Samad Said, Prof Naquib Al Attas, Syed Husin Ali, Tun Mahathir, Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam, Dr Siddiq Baba, Adibah Amin antara lainnya.

Buku “ Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam“ adalah tulisan memoir yang menceritakan kisah hidup, proses pendidikan formal dan tidak formal, perjalanan kerjaya beliau sebagai pemikir, ahli akademik, ahli falsafah, sasterawan dan ahli politik sayap kiri di tanah air. Beliau berkongsi bagaimana proses ini membentuk pemikiran dan sisi pandang beliau dan bagaimana sisi pandang ini berubah sesuai dengan kematangan beliau dan perkembangan yang berlaku di dunia luar.

Mengenali Pak Kassim dari buku ini, saya dapati beliau seorang yang suka berfikir dan komited mencari jawapan kepada persoalan persoalan yang timbul dari proses berfikir tersebut. Beliau bukanlah orang yang hanya mengikut ‘status quo’ tetapi berani memberi naratif baru dengan mencabar status quo yang dirasakan tidak selari dengan prinsip dalam al-quran. Antaranya, penilaian semula beliau terhadap watak Hang Tuah yang telah berzaman-zaman menjadi kebanggaan orang melayu (melalui tesis beliau - Perwatakan Hang Tuah). Beliau memberi tauladan alternatif kepada orang melayu, iaitu Hang Jebat yang memegang teguh prinsip kebenaran dan keadilan, yang selari dengan islam dan seruan al-quran. Beliau berpendapat, watak ini lah yang perlu ditauladani oleh orang melayu islam.

Beliau membesar dalam lingkungan kampung dan keluarga yang mempelajari al-quran - dari belajar membaca hinggalah menghafaz. Proses ini menyebabkan beliau tidak ‘puas’ belajar al-quran kerana tidak memahami langsung makna dan tafsiran ayat-ayat alquran dan atas inisiatif sendiri, beliau mencari pelbagai versi terjemahan quran untuk dibaca dan ini memberi kepuasan kepada beliau.

Mengakui bahawa beliau adalah penganut 'Islam baka' dan dalam proses ‘mengenali semula islam’, beliau dihantui oleh beberapa konsep yang dibincangkan dalam islam, yang mana pada ketika itu beliau gagal temui jawapan yang memuaskan - isu hamba abdi, kedudukan wanita, harta pusaka dan hukuman keras seperti potong tangan dan pancung kepala. Beliau terus mencari, membandingkan pelbagai sumber hinggalah menemui jawapan yang memuaskan. Bagi beliau, tiada apa yang salah dengan al-quran dan islam. Sesuatu dalam agama itu kedengaran pelik, tidak rasional, zalim dll adalah kerana kemungkinan kesilapan tafsiran, atau tafsiran lama yang belum diperbaharui dengan kaedah penyelidikan terkini yang lebih inklusif dan menyeluruh (integrated). Beliau percaya, ilmu dan cara mendapatkan ilmu itu harus berkembang mengikut arus zaman.

Beliau berani berkongsi, berdialog dan mempertahankan kepercayaannya meskipun terpaksa berhadapan dengan kritikan hebat, kerana beliau yakin dengan apa yang beliau fahami dan pegang. Menariknya, pendapat beliau berkenaan kritikan dan penilaian semula hadis-hadis yang bertentangan dengan prinsip al-quran; hasil dapatan pelbagai buku, bahan akademik dan tafsir al-quran; apabila dikongsi dengan ahli akademik, ulama, ahli politik, figur tertinggi dalam insititusi islam melalui dialog tertutup, tidaklah mengundang ‘kontroversi’ kerana suasana dialog tersebut kekal profesional dan objektif. Sehinggalah apabila beliau mengambil keputusan menerbitkan ulasan dan jawapan kepada kritikan ilmiah ke dalam bentuk buku dan diedarkan kepada massa, kontroversi pun bermula. Label anti-hadis kepada beliau umpama ‘cap mohor’, kekal ke atas batang tubuh beliau hingga kini, dibidas, di hina  di mimbar-mimbar khutbah dan akhbar. Watak pemikir, ahli falsafah, pendidik, sasterawan dan pejuang politik tidak lagi sinomim dengan beliau. 

Mengapa kerajaan dan institusi islam di Malaysia ketika itu (dan kini) membuat keputusan untuk mengharamkan karya-karya beliau? 

Mengurus perbezaan pendapat bukanlah kerja mudah, terutama apabila melibatkan masyarakat yang pelbagai tahap pendidikan, latar belakang dan tahap kefahaman; terutama bagi peringkat paling atas (kerajaan), boleh jadi kerana terdapat kembimbangan apabila perbezaan pendapat tersebut boleh menjadi ancaman kepada kestabilan sosial dan politik untuk jangka masa panjang jika tidak dibendung. 

Kassim Ahmad ada menyebut bahawa beliau faham  (meskipun tidak bersetuju) mengapa sesetengah keadaan, ISA perlu di gunakan meskipun  bertentangan dengan hak assisi manusia, di atas prinsip “mudharat kepada individu terpaksa dikenakan untuk mengelak mudharat kepada umum yang lebih besar”. Jika prinsip yang sama digunapakai ke atas masyarakat yang masih belum matang menilai dan mengurus perbezaan, tentulah ia menjadi asbab mengapa karya beliau yang tidak selari dengan autoriti di haramkan, malah sesi dialog bersama beliau juga tidak dapat kebenaran untuk di anjurkan.

Sepanjang saya membaca buku ini, ada beberapa fakta, tafsiran yang membentuk kefahaman beliau, yang saya rasakan agak janggal dan belum pernah saya temui, lalu agak sukar saya mahu menerimanya. Antaranya:
1. Yakjuj & Makjuj, Dajjal, Al-masih dan Imam Mahdi adalah metafora.
2. Syurga dan Neraka bukanlah tempat, tetapi keadaan.
3. Tauhid dan konsep pengabdian kepada Allah adalah wajib dan ia sebahagian dari konsep monoetism. Tetapi, undang-undang, ibadah dan cara hidup dibenarkan dengan cara pelbagai dan beliau katakan ia selari dengan quran - 22:67

Jadi, bayangkan sahaja pendapat beliau berkenaan 3 perkara di atas disebar luas kepada masyarakat islam melayu yang mempunyai pelbagai tahap pendidikan, kematangan, latar belakang dan skil menafsir. Pertimbangan harus dibuat oleh karajan dan institusi agama bagaimana mengurus respons masyarakat terhadap antaranya 3 parkara tersebut, dan akhirnya berpendapat ia perlu dibendung dan tidak disebar luaskan. Namun, Kassim Ahmad menjadi mangsa keadaan kerana pendapat yang dipegangnya. Karya telah pun diharamkan, tetapi sayangya, imej beliau telah rosak dan sukar dibaiki lagi meskipun setelah puluhan tahun. Kepakaran beliau yang lainnya tidak lagi dipeduli.

Ada cara lain yang mungkin boleh digunakan badan berautoriti dalam mengurus karya yang ‘kontroversi’ ini, tanpa perlu diharamkan. Penghasilan sebuah karya telah melalui proses fikir, penyelidikan pelbagai sumber; lalu lahirlah idea idea dalam bentuk buku. Idea yang salah atau jahat sekalipun, mestilah dilawan dengan idea yang dirasakan benar. Kerana, kebenaran akan menang, idea yang ‘salah’ pasti akan dikalahkan oleh kebenaran. Sesi dialog, perbincangan secara berhemah adalah cara bagaimana idea ‘salah’ ini boleh dikalahkan dan dipatahkan, bukannya melalui pengharaman buku atau risalah. 

Pendapat peribadi saya terhadap Kassim Ahmad - beliau seorang anak melayu yang kritis, berani berfikir, tekun, spiritual dan idea beliau wajar diadili secara objektif kerana, ada beberapa pendapat beliau yang lain, saya rasakan wajar direnung, selaku beliau seorang pendidik, sasterawan, ahli falsafah, yang percaya dengan prinsip keadilan sosial mengikut acuan islam, melalui Al-Quran. Buku beliau penuh dengan nota kaki dan rujukan beliau adalah ayat-ayat Al-Quran yang pada tafsiran beliau, menyokong pendapatnya. Tidak dinafikan, pada peringkat peribadi, saya sendiri tidak bersetuju dengan penafsiran beliau dalam beberapa perkara dan saya tidak dapat bayangkan bagaimana masyarakat terbanyak memberi respon masing-masing yang pelbagai. Pastilah bakal memberi masalah kepada autoriti jika tidak ditangani dengan baik. 

Oleh kerana beliau adalah sasterawan, saya merasakan kerana itu beliau cenderung menganggap beberapa istilah dalam al-quran adalah metafora semata mata dan tidak patut difahami secara literal. Beliau pernah menulis sajak bertajuk "Sidang Ruh", yang mana ada istilah kontroversi "Tuhan telah mati". Sedangkan yang beliau maksudkan ialah "kezaliman yang terlalu bermaharajalela kerana manusia menganggap Tuhan telah mati", bukanlah bermaksud beliau tidak lagi percayakan Tuhan dan menjadi atheis. Bahkan beliau menulis ulasan kritikan kepada Richard Dawkins (seorang saintis dan atheis) atas karyanya The God Delusion.

Istilah 'pulang' dalam buku ini membawa maksud, beliau telah kembali berjalan atas jalan yang lurus setelah berjuang di sebelah kiri (memilih acuan al quran berbanding teori sosialism dari Karl Marx, Lenin dll).

Satu ayat Kassim Ahmad yang saya akan ingat - Berfikir itu memerlukan keberanian.

No comments: