.

.

Monday 3 July 2017

Review Ketiga Dilema Melayu Oleh Najwa Hanis



Dilema Melayu Mahathir Mohamad

Bagi mendapatkan informasi lebih lanjut mengenai cabaran ketiga ini, saya buka laman sesawang KDN untuk semakan. Wow! Banyaknya rupanya buku telah Malaysia haramkan! Saya dah go through senarai buku-buku haram tersebut sehinggalah mukasurat 20 dan saya berhenti. Sebab penat screenshot. Sesungguhnya cabaran kali ini sememangnya lebih menarik daripada cabaran-cabaran sebelum ini sehingga membuatkan saya tak tahu hendak pilih buku yang mana. Apakah?
Terdapat beberapa buah buku pilihan di dalam kepala saya. Masalahnya, saya hanya perlu pilih satu. Tapi yang mana? Dilema melanda.
Saya fikir-fikir ada baiknya saya baca buku haram yang memang kepunyaan sendiri dahulu. Lebih senang daripada mendapatkan buku-buku haram yang masih belum saya miliki. Tidak mengapa. Yang belum dimiliki itu boleh diperoleh kemudian hari. Saya intai buku-buku di rak saya. Buku-buku haram yang saya jumpa hanyalah trilogi Fifty Shades. Ok boleh. Tiba-tiba saya teringat ada salah seorang peserta 32 Cabaran Buku yang ingin membaca Fifty Shades juga. Tiada masalah membaca buku yang sama kerana reviu mungkin diberi daripada perspektif berbeza. Tetapi saya mahukan pilihan lain lagi. Tidak mengapa.
Saya terhenti di rak buku ayah dalam perjalanan ke bilik air yang berada di ruang tamu. Saya belek satu persatu buku yang ada di situ. Secara kebetulan saya berjumpa dengan buku Dilema Melayu tulisan Mahathir Mohamad. Jodoh kami. Saya semak kembali senarai buku haram tadi. Ya, buku tersebut tergolong dalam senarai buku haram. Maka saya malas mahu berdilema lagi dan saya pilih buku ini. Buku ini seperti melambangkan saya kerana saya seorang melayu yang mempunyai dilema. Klise.
Sejujurnya ini mencabar buat saya kerana buku bukan fiksyen bukanlah makanan kegemaran saya. Sempena cabaran ini saya sengaja mahu mencabar diri sendiri untuk membaca buku seperti ini. Malangnya bukan mudah ya menyusun tangga ke angkasa.
Sejujurnya Sejarah bukanlah subjek feveret saya semasa zaman sekolah. Sumpah lelah teruk saya baca buku ni sebab pada saya sangat heavy. Padahal mukasurat buku ini hanya sebanyak 222. Jikalau ianya fiction mengandungi 222 mukasurat, saya memang tiada masalah sehari dua boleh dihabiskan. Proses penghadaman itu sangat memakan masa. Banyak sungguh perenggan-perenggan yang saya ulang baca untuk saya faham dengan betul. Di situ saya sedar saya mungkin perlu melatih diri untuk membaca bahan bacaan seperti ini supaya bisa jadi biasa.
Dilema Melayu (1982) ini sebenarnya adalah hasil terjemahan Ibrahim Saad ke Bahasa Malaysia dari buku The Malay Dilemma (1970) tulisan mantan Perdana Menteri kita, Mahathir bin Mohamad. Menariknya, buku ini telah diharamkan oleh Tunku Abdul Rahman semasa pemerintahannya sehinggalah Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat, buku ini dibenarkan. Pengharaman buku ini disebabkan oleh pemikiran Tun Mahathir yang tidak selari dengan Tunku Abdul Rahman justeru menjadi kontroversi.
Tujuan beliau menulis buku ini adalah untuk menyuarakan pendapat beliau khususnya mengenai orang melayu. Ya boleh kita katakan buku ini rasis dan sangat terbuka. Malah buku ini juga bercakap bebas tentang kaum-kaum lain yang ada di Malaysia (serta dikaitkan juga kaum-kaum di luar negara). Dalam pada itu diceritakan sejarah Tanah Melayu dan faktor-faktor yang membentuk nilai setiap kaum. Buku ini juga cuba menerangkan sebab-sebab berlakunya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Antara beberapa perkara yang paling penting yang saya pelajari ialah
1. Walaupun selepas merdeka, harmoni sebenar antara kaum tidak wujud. Yang wujud ialah kurangnya perselisihan antara kaum.
2. Undang-undang sahaja terbukti tidak dapat mewujudkan persamaan kaum. Tetapi kaum-kaum berbeza perlulah menyesuaikan diri antara satu sama lain barulah persefahaman dan rasa muhibbah dapat dicapai.
3. Kualiti pada melayu yang perlu dinilai semula ialah keupayaan melayu untuk mengubah sikap.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa buku ini mempamerkan kelemahan-kelemahan orang melayu dan kaum lain boleh terus menggunakan kelemahan tersebut sebagai senjata untuk menindas dan menghalang kemajuan. Namun, dengan tegasnya beliau lebih ambil kisah tentang orang melayu sendiri yang perlu mengambil iktibar atas kelemahan dan kebolehan kita sendiri untuk terus duduk sama seperti kaum lain dan bukan menghalang kemajuan sendiri. Di samping beliau mengutarakan masalah-masalah kaum melayu, beliau turut memberi solusi terhadap permasalahan tersebut. Itu saya kira usaha yang amat prihatin dan proaktif. Di sini, saya nampak kehampaan beliau terhadap nasib kaumnya sendiri. Oleh kerana itu juga dia membuat keputusan agar suaranya didengar/dibaca sama ada kita bersetuju atau tidak. Walaupun buku ini telah lama diterbitkan, beberapa pendapat di dalamnya masih valid.

No comments: