.

.

Thursday 26 May 2016


Salam sejahtera, 

maaf atas kelewatan kami untuk update di dalam blog ini. Untuk pengetahuan rakan-rakan semua Cabaran 32 Buku 2016 pada bulan Mei adalah seperti berikut:-
Dapatkan buku
1. Penulis Perempuan
2. Luar negara

Kesemua peserta cabaran 32 Buku 2016 kami telah memilih buku masing-masing. Dan mereka sudah tamatkan bacaan masing-masing. Ikut review buku dari mereka dalam post seterusnya.


BACA DAN BANGKIT!


Ada yang tidak bersetuju dengan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tentang pengharaman buku-buku tertentu. Terkadang KDN dilihat terlalu rakus mengharamkan buku mengikut selera barisan panel penapis buku. Mungkin kerana salah satu objektif KDN ditubuhkan adalah untuk memastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam sentiasa terjamin dan terpelihara melalui kemantapan tindakan penguatkuasaan undang-undang dan kecekapan pelaksanaan dasar-dasar bagi program-program yang berorientasikan perkhidmatan teras KDN. Pengukuran atau penilaian ini perlu berdasarkan indeks jenayah, penyalahgunaan dadah, penerbitan, filem, pertubuhan, kewarganegaraan, pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI). Maka buku-buku yang anda rasakan tidak wajar diharamkan,

DIHARAMKAN.

Psiko, sebuah buku yang ditulis oleh Ehsan El-Bakri yang termasuk dikalangan buku yang diwartakan haram oleh KDN pada 1 Jun 2015. Saya tidak jumpa asbab yang dijelaskan pihak KDN tentang pengharaman buku ini. Tetapi jika anda juga manusia yang waras dan tinggi rasio, pasti anda juga bersetuju buku ini diharamkan. Secara ringkasnya, Psiko ialah sebuah buku bergenre seram. Sebuah kisah pembunuh psiko iaitu Nasrul yang mencari mangsa dari kalangan manusia yang mempunyai potensi sebagai hidangan dan santapan keluarga psiko-nya iaitu Roslan, rakan sekerja Bella yang juga merupakan salah seorang mangsa dalam cerita ini, dan seorang budak perempuan kecil, anak kepada Nasrul dan anak buah kepada Roslan. Titik utama yang dilihat dalam cerita ini ialah misi mencari makanan untuk budak perempuan kecil yang mempunyai selera liar dan luar batas

sehingga menjadikan novel ini sebuah novel yang sungguh menjijikkan. Tambahan lagi dengan watak Roslan yang seringkali digambarkan berbogel dan sentiasa menyentuh alat kemaluannya dihadapan mangsa-mangsanya dan juga dihadapan seorang budak kecil. Tidak cukup dengan itu, mangsa-mangsa mereka sebelum diseksa hidup-hidup dan dibunuh dengan kejam, mereka juga akan dirogol sepuas-puasnya oleh Roslan si kaki sangap.

Buku ini seolah mahu membuat pembaca menyediakan sebuah baldi yang super besar supaya tak susah untuk ke bilik air dan muntah berkali-kali setiap kali menyelak dua tiga halaman. Mustahil untuk pembaca membaca tanpa berimaginasi atau menggambarkan suasana yang terjadi sepanjang perjalanan membaca novel ini. Maka, setiap sisi yang jijik, lucah dan mencetuskan keghairahan, sangatlah tidak digalakkan untuk dibaca, tidak kira dari golongan muda atau tua. Because this kind of reading will lead to another disaster. Mereka, terutamanya golongan remaja (target market novel sejenis ini) pastinya akan terpengaruh terutama dari segi seksual. Ya, berani saya katakan novel sebegini yang mendorong remaja pada hari ini untuk beraksi liar dan mencuba untuk experience apa rasanya meratah tubuh jantina lain dan lain-lain experince yang ditonjolkan di dalam novel ini dan yang sejenis dengannya.

Selain daripada penulis bermain dengan fikiran rasional dan imaginasi pembaca, apakah tujuan sebenar novel ini ditulis? Apakah mesej yang ingin disampaikan? Di manakah nilai moral novel ini? Apa manfaatnya dari membaca novel ini? Saya cuba medapatkan sisi positif sebelum menilai novel ini dengan negatif tetapi sayang seribu kali sayang, tak ada! Belum lagi habis kecewa dengan jalan cerita dan bagaimana cerita ini diolah, gaya penulisannya, dan sebagainya, bila sampai part ending, masya-Allah.. are you kidding me? Macam tu je ending? Ending-nya

Bella diculik, diikat, dikurung, dipukul, kemudian Roslan reveal-kan diri dia. Bella terkejut. The End. Tamat. Habis cerita? Ya Allah, menguji kesabaran sungguh! Tidak ada apa yang saya dapat daripada novel ini selain kecewa, marah dan bengang. Serius.

This is absolutely a no no novel. Sangatlah tidak digalakkan untuk membeli dan membaca this kind of novel. Tetapi terpulanglah. Setiap orang pandangannya berbeza bukan? Kalau saya adalah salah seorang panel penapis buku, jujurnya, ini adalah buku yang akan masuk dalam list dilarang dan diharamkan untuk dijual dan dibaca. Setiap pelusuk rumah akan saya gegar dan rempuh semata-mata untuk merampas buku ini dan sejenisnya agar jiwa-jiwa anak muda Malaysia selamat dari bahan bacaan sebegini. Dan kalau saya jutawan, setiap rumah akan saya bekalkan bahan bacaan santai yang lebih menarik dan mempunyai manfaat agar mampu melahirkan generasi yang lebih berpotensi tinggi.

Tamat.

Sunday 15 May 2016

SAJAK “GURU O GURU” – USMAN AWANG (1979)



BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh yang sama dalam tahun yang sama 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council ) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report Of The Education Commitee ) sebagai dasar pelajaran negara kita. Dokumen tersebut dikenali sebagai Laporan Razak, telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.

1. Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
2. Menarik perhatian ibu bapa , murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
3. Memupuk semangat perpaduan ikhtisas dan muhibbah di antara guru.
4. Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
5. Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar, persidangan, melanjutkan pelajaran dan sebagainya.
6. Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Saya terpanggil untuk menulis perihal sajak Usman ini kerana ada yang bertanya jika guru mengajar salah itu bagaimana? Jika ini yang berlaku bagaimana?

“Jika hari ini seorang Perdana Menteri hilang kuasa
Jika hari ini seorang Raja dirampas takhta
Jika hari ini seorang Presiden bukan pada sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang hina
Jika hari ini seorang peguam kalah bicara
Jika hari ini seorang penulis tidak terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja yang tidak menjadi dewasa;”

Bagaimana? Bagaimana? Bagaimana?

Itulah kita perlu baca dengan sebenar baca, anda faham pantun lama yang Usman selitkan bersekali dengan peribahasa

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Pembayang dan makna pantun:

Pembayang
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki

Ramai dari kita tidak faham dan mengambil mudah pantun klasik ini. Bagi yang tidak kenal dan tahu maka akan abaikan, jika tahu akan tertarik dengan pantun ini.

Rusa belang kaki bukanlah rusa yang kita tahu, tapi ianya adalah belalang rusa. Klunya adalah padang datar, rusa tidak akan muncul di kawasan padang kerana tempatnya di rimba. Lain pula belakang rusa yang tempatnya di padang datar. Diburu untuk apa? Bunyinya yang merdu, dipertandingkan oleh peminat belalang. Dan pembayang ini juga menyatakan apa yang kita buru, itulah yang kita akan dapat.

Makna
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Ini adalah peribahasa lama,yang membawa maksud apabila suatu ilmu atau pelajaran yang tidak sempurna dipelajari, maka tidak akan mendatangkan suatu manfaat atau faedah. Maka kembali kepada persoalan atas yang membawa kepada individu merosakkan, tertewas, dan perkara-perkara negatif. Adakah salah seorang guru?
Akhir kata dari kami



SELAMAT HARI GURU!


sumber: 

1.http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm

2. http://www.kamusperibahasa.com/arti-peribahasa-indonesia/berguru-kepalang-ajar-bagai-bunga-kembang-tak-jadi/