.

.

Thursday 31 March 2016


Salam dan selamat sejahtera! Yang ditunggu telah tiba!


Terima kasih buat semua pembicara.

Perewa - Keris Mas
Fazallah Pit - Shahnon Ahmad
Firdaus Zolkifli - Usman Awang
Uthaya Sankar - A Samad Said
Hani Salwah Yaakup - Arena Wati (video rakaman - YouTube)
Hafiz Hamzah - Muhammad Haji Salleh (video rakaman - YouTube)
Siti Jasmina Ibrahim - Noordin Hassan
Fadhli Al-Akiti - Abdullah Hussain
Wan Nor Azriq - S Othman Kelantan (video rakaman - YouTube)
Nissa Yusof - Anwar Ridhwan (video rakaman - YouTube)
tiada - Kemala
Muhammad Lutfi Ishak - Baha Zain
Ainunl Muaiyanah - Zurinah Hassan (video rakaman - YouTube)

E-Zine Bicara Karya dan Sikap Sasterawan Negara (Klik sini)

12 tulisan dan lima rakaman untuk anda semua. Nikmatilah!

Sunday 27 March 2016

TIGA KALI SEMINGGU~ Faisal Tehrani


Saya tidak banyak membaca karya Faisal Tehrani. Tiga Kali Seminggu (selepas ini disebut “TKS”) yang menjadi buku tugasan saya dalam Cabaran 32 Buku 2016 ini adalah buku ketiga, selepas Tunggu Teduh Dulu (dibaca tahun 2010) dan Manikam Kalbu (dibaca tahun 2015), atau buku keempat sebenarnya, jika Kumpulan Puisi Mek Bah dikira sekali. Selainnya, saya hanya baca tulisan-tulisan beliau dalam bentuk artikel-artikel di internet atau sebagai prakata dalam buku-buku penulis lain.

TKS adalah buku kategori nipis-nipis saja. Tetapi dalam nipis-nipis itu agak lama tempoh masa saya ambil untuk menghabiskannya. Tidak ada isu kekangan masa di sini. Tetapi alasan lain, yang akan saya nyatakan kemudian. Seperti yang tertera di kulit buku, TKS mengandungi 15 cerita mencabar minda; (1) Rindu Ini Luar Biasa, (2) Abuya Tokoh Dongeng Yang Memakan Babi, (3) Antiplot, (4) Bulan Penuh di Saigon, (5) Cinta Medeni, (6) Dangai, Pau dan Maruku, (7) Hajah Abidah, (8) Latar, (9) Manifesto Mergastua, (10) Muhammad Ulul Albab (11) Muthupalaniappan, (12) Perlak Emak, (13) Tiga Kali Seminggu, (14) Setelah Diciptakan Adam dan yang terakhir (15) Kegawatan. Berjumlah 196 halaman kesemuanya, TKS diterbitan Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd. pada tahun 2010. Diwartakan sebagai haram oleh KDN pada 01.04.2015 [No. Warta: P.U (A) 67].

Mengapakah TKS diwartakan sebagai haram? Itu saya tidak tahu. Pihak berautoriti telah mengiytiharkannya sebagai haram. Maka haramlah. Adakah TKS patut diharamkan? Itu bergantung.

Setelah saya habiskan kesemua 15 cerpen yang terkandung dalam TKS, saya dapati kesemuanya isi kandungannya adalah pahit-pahit rasanya. Itulah punca mengapa saya terpaksa habiskan dalam tempoh yang agak lama walaupun bukunya tidak tebal mana. Paling manis di antara semua yang pahit-pahit itu mungkin adalah cerpen (5), cerpen (6) dan cerpen (10).

Jikalau kepahitan yang menjadi sebab untuk dijadikan haram, maka pengharaman ke atas TKS itu adalah jauh lebih pahit sebenarnya. Tetapi jikalau isu Syiah yang menjadi punca ia diharamkan makanya TKS sepatutnya adalah produk halal. Tidak ada pada penelitian saya isi kandungan yang bercirikan jarum-jarum Syiah dan saya yang tidak asing dengan bacaan-bacaan rumit, cermat dalam bacaan saya. Jikalau cerpen (8) yang ada menyebut lawatan ke Iran itu dianggap bacaan yang patut dikhuatirkan pihak kerajaan, maka amat malang sekali hak rakyat jelata untuk membaca TKS ini dihalang. Atau jikalau cerpen (15) yang terakhir itu dianggap tulisan-tulisan yang berbahaya kepada negara (sedangkan kita seronok saja melihat filem-filem Hollywood menayangkan kisah kehancuran ibu kota yang lebih kurang sama) maka pengharaman TKS ini memenjarakan minda rakyat dalam tempurung kelapa.

Ringkasnya, selepas saya tamatkan bacaan, dan selepas lima minggu saya membelek-beleknya ke hadapan ke belakang dan kembali ke hadapan, TKS tidak patut diharamkan. TKS pada saya adalah tulisan yang selamat untuk dibaca (kecualilah bagi si paranoid yang semua perkara pun adalah ancaman baginya tetapi gelojoh pula menghukum buku tanpa membacanya dan itu, Tuhan saja yang berkuasa membolak-balikkan hatinya~ jangan terasa, jika ini bukan sikap anda). Saya katakan buku TKS ini selamat untuk dibaca dalam keadaan saya sendiri bukanlah peminat tegar Faisal Tehrani. Atau (boleh jadi) belum lagi.





Tuesday 1 March 2016


Tidak susah untuk menghukum haram buku Karbala bagi negara Malaysia yang mengamalkan akidah ASWJ, dalam e-fatwa 5 Mei 1996  memansuhkan penerimaan Mazhab Syiah. Ini adalah kerana buku yang ditulis Faisal Tehrani (FT) dan diterbitkan Arberdeen pada tahun 2008 secara jelas menceritakan dalam bentuk drama kebudayaan ta'ziyah penganut Syiah yang diamalkan di kebanyakkan negara di dunia seperti Pakistan, Iraq, Yaman, Kuwait, Bahrain, Lubnan dan Iran.

Ta'ziyah berkonsepkan drama penjelmaan semula (resurrection) peristiwa bersejarah dan berdarah yang berlaku di tanah Karbala Iraq pada 10 Muharram 61 Hijrah, yang melibatkan cucu Rasulullah iaitu Hussein bin Ali, anak kepada Saiditina Fatimah ra dan suami Ali bin Abi Talib karamallahu wajhah (kw). Selang masa diantara kewafatan baginda Rasulullah dan peristiwa Karbala hanyalah kurang lebih 50 tahun sahaja.

Dalam novel ini, FT menyorot keseluruhan peristiwa ini dalam bentuk drama, di mana pembaca perlu melihatnya dalam banyak sudut. Watak-watak yang dimainkan, props, dialog, peranan chorus, alat muzik yang bersesuaian serta perubahan set dan scene. Oleh kerana Karbala dalam bentuk drama, maka banyak dialog yang terlibat dan juga peranan tukang cerita amat penting untuk membayangkan mood dan emosi pemain.

Secara keseluruhan, cerita Karbala adalah detik genting peristiwa pertembungan kem Yazid bin Muawiyah yang diwakili oleh Umar bin Sa'ad dan Hussein bin Ali di tanah Karbala. Detik-detik penderitaan keluarga Rasulullah diasak sehingga ke titisan darah terakhir, dinafikan segala bentuk bantuan kemanusiaan seperti sumber bekalan air dan makanan diceritakan dengan dramatik dan berkesan.

Pengepungan berlaku untuk mendesak Saidina Hussein memberi baiah kepada Yazid yang memusatkan kerajaannya di Damsyik, Syria. Soalan yang berputar di kepala, kenapa Saidina Hussein bergerak ke Karbala tanah padang pasir yang gersang dan tiada orang? FT menjelaskan, perjalanan Imam Hussein adalah untuk menyahut panggilan baiah penduduk Kufah bagi tujuan reformasi kerana apa yang dilakukan oleh Yazid yang mewarisi pemerintahan dari bapanya Muawiyah bin Abu Sufyan sudah banyak terpesong. Islam yang diletakkan batu asasnya oleh Rasulullah telah dijungkar balik.

Setelah membaca dalam makalah lain, banyak perbincangan mengatakan Karbala bukan pertembungan agama, tapi boleh dilihat dari sudut pertembungan politik, pemerintahan dan kelas.

Ketika membaca, saya merasakan Karbala bukanlah isu akidah yang perlu dibincangkan dengan menelaah mazhab aqidah seperti Asya'irah, Jabariyah, Qadariah atau Syiah, tetapi isu kebudayaan/sejarah yang sentral kepada peristiwa yang berlaku kepada cucu Nabi Muhammad saw, iaitu Imam Hussein, keluarga dan pengikutnya dengan pelaku zalim Yazid bin Muawiyah dan tentera suruhan yang diketuai oleh Umar bin Saad.

Walaubagaimana pun, peristiwa ini selalu menjadi penanda aras atau garis pembeza antara dua mazhab, ASWJ dan Syiah. Kepercayaan mengenai peristiwa, keraian yang bersangkutan, penghayatan tentang Karbala nyata berbeza malah kadangkala menjadi alat untuk saling menjatuhkan. Di rantau nusantara, keraian 10 Muharram berbeza sambutannya. Ada yang menyambut dengan keraian memasak bubur Asyura. Keraian yang melambangkan kegembiraan peristiwa kenabian yang lain, seperti selamatnya Nabi Nuh dari bah besar. Tetapi ada juga yang menyambut Tasua dan Asyura dengan menghayati peristiwa Saidina Hussein yang dizalimi.

Tapi secara peribadi, sukar untuk membayangkan Karbala tiada motif agama kerana agak payah menjustifikasikan cucu Rasulullah saw dan 72 ahli keluarga dan sahabat sanggup menggadaikan harta benda, kesenangan malah nyawa untuk tujuan yang bersifat keduniaan, melainkan ianya mempunyai kepentingan agama, maslahat manusia secara umum dan hal bersangkutan akhirat.

Buku ini adalah perbicaraan dialog genting yang berlangsung di khemah Imam Hussein. Bagaimana keluarga dan sahabat satu persatu menyanggupkan diri mereka untuk bertembung dengan tentera Yazid. Perbualan antara Imam dan pengikut selalu mengundang kesayuan dan keperitan yang menusuk jiwa. Detik-detik akhir sebelum mereka terbunuh itu jelas, tetapi tidak menyebabkan mereka goyang dan berpaling.

Watak-watak seperti dari kem orang saleh, Imam Hussein, Zainab, Ali Zainal Abidin, Ali Akhbar, Ali Asghar, Aswajah, Habib bin Mazaher, Muslim bin 'Ausajah, 'Amir bin Qarthah Al-Anshari.

Yang dipamerkan dari kem fasik, Umar bin Saad, Syimir bin Dzil Jausyan dan lain-lain.

Juga ada cerita aneh, dalam saat genting masih ada orang sanggup melompat kem, dari kem fasik ke kem orang soleh seperti Hurr bin Yazid apabila tersedar dari kesilapan yang nyata. Maaf Hurr diterima dengan lapang dada oleh Imam Hussein.

Awal-awal lagi FT telah memberi garis pemisah yang jelas, mereka yang berada di kem Imam Hussein adalah kelompok orang saleh. Mereka yang menentang adalah orang fasik, termasuk mereka yang tidak memberi dokongan dalam terang atau tersembunyi.

Sejarah, sekurang-kurangnya di Malaysia tidak mengenal peristiwa Muharram yang ini. Kes kecil yang kami bertanya kepada ibu dan orang-orang tua, soalan mudah, "pernahkah mendengar Karbala?" atau "tahukan anda cucu Nabi dibunuh?" akan dijawab dengan gelengan tidak tahu. Paling tidak akan menjawab, "Hussein, cucu yang selalu memanjat belakang Nabi itu?". Di Malaysia, Hussein tidak pernah dewasa.

Buku ini secara peribadi membuka dimensi lain tentang sejarah Muharram bagaimana orang Islam meraikannya dengan cara berbeza. Juga memberitahu tentang sebuah nama tempat Karbala, pembela kebenaran Imam Hussein, pengkhiatan dari kem fasik dan penduduk Kufah.

Buku ini juga membuka sudut pandang, bahawa pertembungan dan peperangan itu boleh sahaja berlaku dalam sesama agama. Apabila kebatilan itu jelas, maka perlu ada kelompok yang bangun berjuang secara jelas.

Buku ini dalam bentuknya yang khusus, membuat kita termenung panjang, apakah gerangan manusia sesama Islam sanggup membunuh cucu Rasulullah saw, yang setiap kali solat namanya disebut, dan setiap kerinduan, kehadirannyalah yang kita dambakan.

Lebih adil ulasan ini dibuat dengan menyelidik silang dengan fakta sejarah. Tetapi masa yang ada untuk cabaran 32 buku ini begitu terhad.

Kami melihat anak buah kecil kami, yang senyumnya tidak lekang, yang nakal mengundang girang. Seperti Hussein kecil yang disayangi Nabi. Alangkah sayu hati Nabi, bila telah melihat masa depannya yang berdarah dan dianiaya.

Masa depan bagi cucu Nabi, tidak seindah yang kita bayangkan kepada pewaris risalah agama.

Karbala berjaya membuka satu lipatan sejarah dalam gaya dan cara tersendiri, yang dibungkam/terbungkam oleh si pemenang. Kerana hanya yang menang perang menulis sejarah, tetapi kebenaran selalu menjumpai jalan untuk menzahirkan dirinya, dari jalan yang tidak disangka-sangka.

Soalnya, beranikah kita untuk mengetahui kebenaran tentangnya.
1. Dapatkan buku yang PERNAH/MASIH diharamkan di Malaysia. Terpulang dalam bentuk ebook atau tidak. Sebagai contoh:
  • Satanic Verses – Salman Rushdi
  • SHIT – Shahnon Ahmad
  • Sa-Belum dan Sa-Lepas 13 Mei – Tunku Abdul Rahman
  • Dilema Melayu – Mahathir Mohamad

2. Tempoh bacaan adalah selama sebulan bermula 29 Januari 2016 – 29 Februari 2016.
3. Apabila buku telah habis dibaca, perlu menulis minima satu muka/500 patah perkataan dan tiada had maksima
• Setuju atau tidak buku itu diharamkan? Dan kenapa?
• Apakah yang anda peroleh selepas buku ini habis dibaca
• Adakah anda setuju pemikiran kita akan dipengaruhi dari bacaan kita (mengikut pengalaman bacaan buku yang anda pilih)

4. Hantarkan di bukujalanantiti@gmail.com dan kami akan siarkan di blog kami. bukujalanantiti@blogspot.com
Selepas beberapa hari ini adalah hasil pemilihan jenis buku haram buat peserta
Berikut adalah pilihan bacaan yang pernah diharamkan/masih diharamkan.
Fahmi - Perempuan Nan Bercinta
Azrin - 3 Kali Seminggu
Kak As - Karbala
Aina - SHIT/Malay Dilemma
Azim - sabelum dan salepas 13 Mei
Rinzal - Malay Dilemma
Aizat - Malay Dilemma
Kak Fai - Kassim Ahmad Mencari Jalan Pulang
Khairiah - Psiko
Aswad - Satanic Verses
Ayesha - Satanic Verses
Mereka akan tulis review selepas baca (dalam tempoh sebulan). Dan kami akan kongsi di blog bukujalanantiti.blogspot.com
Salam Rabu dan selamat sejahtera buat rakan-rakan semua. Pada tahun 2016 Buku Jalanan TITI mengadakan cabaran 32 buku. Di mana seramai 11 peserta perlu menghabiskan 32 buku sebelum 2017 menjelma. 27 buku pilihan peserta dan 5 jenis buku pilihan Buku Jalanan TITI. Berikut adalah senarai peserta yang menunjukkan minat untuk cabaran ini.


5 jenis buku akan diberikan oleh Buku Jalanan TITI selang dua bulan. Bermaksud bermula Februari Buku Jalanan TITI akan berikan jenis buku yang perlu mereka baca. Mereka juga perlu review untuk kami upload di blog kami.

Sekadar itu dahulu, semoga rakan-rakan memberi sokongan atas usaha kami.

Wassalam

Baca dan Bangkit!